Tuesday, February 03, 2015

DERITA UMAT ISLAM CHECHEN YANG TAK DIPEDULIKAN





DERITA UMAT ISLAM CHECHEN YANG TAK DIPEDULIKAN
Oleh:Dr Riduan Mohamad Nor.

Salju seperti sedang runtuh daripada langit saat kami menghampiri kawasan pelarian Chenchen yang berada di pinggir bandar Warsaw, Poland. Dingin mengigit tulang temulang sehingga mencecah minus 13, tapi perasaan ingin mengenali teman-teman seakidah menyebabkan kami terlupa sebentar rasa sejuk menciut itu. Poland bukanlah negara yang bersahabat dengan Islam, fenomena Islamphobia masih merajai negara bekas komunis dan juga negara pertama disergap Perang Dunia kedua sehingga Kota Warsaw musnah 80 peratus dibaham ledakan skala besar pihak Nazi Jerman. Poland juga antara sketsa berdarah "holocaust" yang dilakukan oleh Adolf Hitler dan bala tenteranya kerana kelompok Yahudi yang masih berbaki di negara yang bersempadan dengan Rusia itu.

Sakibaki Yahudi di Poland hari ini juga terkenal sebagai kelompok tegar pembenci Islam termasuk tanpa berselindung menunjukkan rasa jengkel mereka terhadap pelarian Islam dari bumi Chenchen, Rusia. Sejarah Islam di Rusia bukanlah baru, kerana semenjak zaman Khulafa ar Rasyidin telah menyaksikan perang di Armenia dan Azebaijan, iaitu di zaman Saidina Uthman . Usai perang besar inilah berlakunya penyusunan al Quran kali kedua dan gerakan dakwah secara besaran juga berlaku di kawasan Asia Tengah ini di zaman Muawiyyah Bin Abu Suffian.

Sejarah Islam juga menyaksikan bagaimana hebatkan tentera tartar atau Monggul dari kawasan Asia Tengah menyerang Wilayah Islam di Asia Barat sehingga perlawanan sengit yang menumpahkan darah serta melenyapkan bukti tamadun emas yang dibina oleh pemerintahan Islam. Baghdad antara saksimata kekejaman tentera Tartar membakar kota dan memunggah kitab-kitab ilmu ke dalam Sungai Furat sehingga sungai menjadi hitam airnya. Mereka mara sehingga ke Wilayah Syam dan memaksa ulama Islam bersama para pemuda menjulang panji Jihad, meneriakkan takbir dan menjadi benteng kepada ummah. Bangsa yang zalim berbadan besar ini akhirnya telah memeluk Islam dan akhirnya menyemarakkan dakwah di rantau Sub Continent dan juga Asia Tengah. Islam telah mengubah sakhsiah dan cara hidup bangsa Tartar ini yang mendiami Asia Tengah.

MUSLIM CARE MENYANTUNI PELARIAN CHENCHEN.

Berbeza dengan peta luka umat Islam yang lain, maklumat dan bantuan lebih cepat sampai dan digerakkan oleh NGO-NGO kemanusiaan dari Malaysia, sifat pemurah rakyat Malaysia dan keprihatinan jaringan sivil negara ini antara terbaik di dunia muslim. Derita umat Islam Chenchen sangat jarang sampai ke telinga rakyat negara ini, penulis teringatkan sekitar pertengahan tahun 1990an, beberapa kali demonstrasi membantah kezaliman regim Russia diadakan . Segelintir pelajar-pelajar dari bumi Grozny dibawa belajar di Universiti Islam Antarabangsa ketika perang semakin memburuk,di Chenchen. Gerakan perlawanan dan jihad di Chenchen juga kurang mendapat liputan media negara ini, berbanding dengan sorotan berita gerakan jihad di Afghanistan, Palestin, Syria dan Bosnia.

Regim Soviet dengan segala kelengkapan perang telah menyerang Grozny dan membunuh serta melakukan pelbagai bentuk kezaliman terhadap umat Islam Chenchen. Ribuan terkorban , ribuan muslimah dirogol dan kampung-kampung muslim dikosongkan regim komunis. Kesannya ramai yang cuba untuk berhijrah keluar negara, termasuk ke Poland yang berjiran dengan Russia. Di pinggir bandar Warsaw, pelarian muslim ini berada di khemah pelarian tertutup dimana mereka tidak dibenarkan untuk menerima tetamu luar serta disekat akses dengan pihak lain. Lebih menyayat hati, makanan haram seperti babi menjadi sumber protein mereka dengan alasan murah dan menjimatkan pihak pengurusan kem.

Muslim Care Malaysia yang mendapat maklumat tentang keberadaan pelarian Chenchen di Poland melalui Persatuan Pelajar, rakyat Malaysia di Poland dan juga mendapat kerjasama yang baik daripada pejabat Mufti Poland akhirnya menggerakkan kempen bantuan musim sejuk. Pelajar-pelajar Malaysia di luar negara juga turut bekerjasama mengadakan kempen membantu pelarian serta merangka bentuk bantuan jangkapendek. Di tanahair kita , selain Muslim Care menggerakkan kempen melalui siber, para pendakwah selebriti seperti Ustaz Ahmad Dasuki Rani, Ustaz Halim Din turut membantu mendapatkan dana kempen. Sebanyak 100 ribu ringgit berjaya dikumpulkan dan diserahkan kepada pelarian Chenchen dalam kempen misi musim sejuk.

Rombongan Muslim Care dan relawan yang terdiri daripada pelajar Malaysia telah melakukan pelbagai program disepanjang misi termasuk melawat sekolah pelarian, menyantuni mangsa peperangan yang dhaif, program bersama Mufti Poland, serta ramah mesra bersama pelarian . Saya terbayang guratan wajah gembira anak-anak kecil yang disantuni anggota misi serta curahan pengalaman warga dewasa pelarian tentang bahasa kesakitan dan kezaliman Russia terhadap umat Islam. Bumi Chenchen tetap mendakap relung hati mereka walau kebarangkalian untuk kembali menghirup udara nyaman tanah leluhur mereka sangat tipis.

(Penulis ialah aktivis bantuan kemanusiaan tanpa sempadan dan Exco Muslim Care Malaysia)

0 komen:

Post a Comment