Thursday, May 12, 2011

Perniagaan : Gergasi Perisian Dunia,Microsoft beli Skype

Microsoft beli Skype RM25.36 bilion
Usaha tingkat bidang komunikasi, data talian Google, Facebook

MICROSOFT Corporation membeli peneraju panggilan suara dan video internet terkemuka, Skype menerusi satu urus niaga bernilai AS$8.5 bilion (RM25.36 bilion) dalam usaha meningkatkan lagi kedudukannya dalam bidang komunikasi dan data dalam talian yang dikuasai Google dan Facebook.

Urus niaga yang turut menarik perhatian Cisco, Facebook dan Google itu yang terbesar pernah dilakukan Microsoft.
Penganalisis bagaimanapun berbeza pendapat mengenai pengambialihan itu dengan sebahagian daripadanya berkata, ia langkah strategik yang baik bagi gergasi perisian Amerika Syarikat itu, manakala sebahagian lagi berkata, Microsoft membayar pada harga yang terlalu tinggi dan pembabitannya akan menjejaskan inovasi di Skype.

Skype, antara aplikasi utama dalam iPhone Apple serta telefon pintar yang menggunakan perisian Android Google, memiliki kira-kira 170 juta pengguna yang kini boleh menggunakan Skype melalui telefon menggunakan Windows atau konsol permainan Xbox.

“Skype perkhidmatan mencetuskan fenomena yang digemari jutaan pengguna di seluruh dunia,” kata Ketua Eksekutif Microsoft, Steve Ballmer dalam satu kenyataan awal ketika mengumumkan urus niaga itu.

“Bersama-sama kami akan mencipta masa depan komunikasi secara masa nyata dengan pengguna kekal menghubungi keluarga, sahabat, pelanggan serta rakan pejabat di mana saja di seluruh dunia.”
Microsoft berkata, akan menjadi cabang perniagaan baru dalam syarikat itu dengan Ketua Eksekutif Skype, Tony Bates, bergelar Presiden Bahagian Microsoft Skype, yang melaporkan secara langsung kepada Ballmer.

Pengguna Skype boleh membuat panggilan internet dengan nilai terendah atau secara percuma menggunakan komputer atau telefon pintar masing-masing.
Skype memintas rangkaian telefon dengan menyalurkan panggilan suara dan video itu melalui webnya.

Pembelian Skype membuka jalan kepada Microsoft menggugurkan imej perniagaan perisiannya seterusnya mendapatkan perhatian dalam pasaran telefon pintar yang sedang hangat diperkatakan kini.

Microsoft Windows menguasai pasaran sistem perisian komputer namun enjin cariannya, Bing ketinggalan jauh berbanding Google. – AFP

sumber: berita harian online

0 komen:

Post a Comment