Soalan:
Muzik semacam menjadi sebahagian daripada kehidupan mahasiswa sekarang. Bagi saya sendiri, tidak semua muzik menganjurkan ke arah keburukan. Malahan terdapat kumpulan hip hop dianggotai remaja Islam di Barat yang menyanyikan lagu yang mempertahankan tohmahan terhadap Islam. Mohon ustaz memberikan pandangan.
Hukum Menyanyi dan Mendengar Nyanyian
Terima kasih, Untuk menjawab persoalan ini saya kemukakan petikan tulisan Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya “Fatwa-Fatwa Semasa” di bawah tajuk “Mendengar Nyanyian”. Perbahasan beliau agak panjang, jadi saya akan bentangkan dalam bentuk kesimpulan sahaja. Perbahasan lanjut saudara boleh dapati dalam buku tersebut.
Al-Qaradhawi menyatakan bahawa menyanyi dan mendengar nyanyian adalah harus sama ada disertai muzik atau pun tanpa muzik. Walaubagaimanapun keharusan itu tertakluk kepada beberapa syarat yang mesti dipatuhi. Sekiranya berlaku perkara-perkara yang bertentangan dengan syarat-syarat berkenaan maka keharusan bertukar menjadi haram. Antara syarat tersebut adalah:
1. Mesej lagu hendaklah tidak bertentangan dengan adab-adab dan pengajaran Islam. Lagu-lagu yang mendorong kepada maksiat, fantasi yang mengkhayalkan, pujaan terhadap kejelitaan wanita yang mengasyikkan, ajakan percintaan yang tidak mempedulikan batasan syara’ dan sebagainya akan menyebabkan nyanyian menjadi haram.
2. Cara penyampaian lagu hendaklah tidak bertentangan dengan adab-adab dan pengajaran Islam. Gaya persembahan dan kata-kata yang diungkapkan oleh penyanyi sama ada lelaki ataupun perempuan yang menggoda dan bertujuan untuk merangsangkan hawa nafsu adalah diharamkan. Termasuk juga dengan cara berpakaian penyanyi akan mempengaruhi hukum sama ada harus, makruh atau pun haram.
3. Agama melarang berlebih-lebihan dalam apa jua perkara sekalipun dalam urusan ibadat. Apatah lagi berlebih-lebihan dan menghabiskan masa dengan hiburan sekalipun hukum asalnya adalah harus. Ini menunjukkan kosongnya hati dan akal fikiran daripada kewajipan-kewajipan yang lebih besar dan isu-isu utama yang membelenggu umat masa kini. Berlebihan dalam perkara harus hingga menjejaskan perkara wajib adalah ditegah (haram)
4. Pendengar muzik atau lagu hendaklah memahami dirinya. Beliau hendaklah benar-benar memerhatikan dirinya sekiranya tidak mahu keharusan bertukar menjadi haram. Apabila hiburan itu menggerakkan naluri serta nafsunya seterusnya menyebabkan dia terpedaya dan berada dalam keghairahan maka wajiblah dia menjauhinya dan segera menutup punca bertiupnya angin fitnah (ransangan) tadi daripada singgah ke hati, agama dan akhlaknya. Selain itu, bidang dan majlis nyanyian sentiasa sahaja mewujudkan percampuran lelaki perempuan ajnabi secara yang tidak diiktiraf oleh syara’yang sudah tentu hukumnya adalah haram.
Wallahu a’lam.
0 komen:
Post a Comment