Dalam hati timbul rasa ingin tahu apabila melihat sesuatu yang istimewa apatah lagi apabila merasakan itu adalah sesuatu anugerah yang bakal menjadi miliknya. Walau pertemuan kita tidak bermula dengan baik, namun dalam hati saya bersyukur pada ALLAH SWT sebab saya dapat kenal seorang wanita yang ketulusannya amat suci. Apabila melihatnya berlari untuk menyelamatkan dua orang kanak-kanak yang melintas jalan raya yang hampir dilanggar kereta tanpa memikirkan keselamatan dirinya sendiri, saya tertanya dimana mungkin saya dapat temui wanita sepertinya? Mungkin dia tertanya adakah wujud orang yang telus, namun jawapan itu terjawab apabila tiada sebab kita tidak boleh telus jika kita sedar hidup ini kita berharap pada keredhaan Tuhan yang Maha Esa.
Jika semua ini tidak terjadi dalam kehidupan saya, mungkinkah saya dapat menemuinya. Maafkan saya atas kesilapan saya. Tiada terniat untuk saya melukainya apatah lagi hatinya. Melihatnya menangis membuat saya rasa berdosa kerana tidak dapat membuatnya faham hati saya. Sesungguhnya saya hanya mampu berdoa kepadaNYA yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang agar dirinya memaafkan saya. Saya tidak akan berhenti berdoa agar Asma cepat sembuh. Maafkanlah saya Asma…..
-Nazrey-
Air mata Asma membasahi pipi. Kini baru Asma sedar perkara yang sebenarnya. Asma mengamati wajah lelaki itu. Asma yakin lelaki itulah yang bernama Nazrey. Asma tidak tahu apakah yang perlu di ucapkan. Asma rasa amat bersalah kerana terlalu emosi menghalau lelaki itu semalam. Lelaki itu tidak bersalah dengan apa yang menimpa dirinya.
Asma kembali melihat kakinya yang tidak dapat bergerak lagi. Di dalam hatinya mula berfikir ke atas apa yang menimpa dirinya. Asma redha dengan ketentuan Allah SWT. Seandainya dia ditakdirkan untuk menjadi cacat, dia redha. Asma yakin setiap apa yang terjadi ada hikmahnya tersirat dari Allah SWT. Apa yang pasti Asma tidak akan putus asa untuk meneruskan kehidupan.
Sesuatu terjatuh ke lantai. Asma terkejut dan cuba melihat apa yang terjatuh.
“Asma sudah bangun?” Suara lelaki itu kedengaran.
Asma mendongakkan kepalanya dan berpaling kepada lelaki yang berada di hadapannya. Asma tidak tahu apa yang perlu diucapkan. Apa yang dia rasa adalah suatu perasaan yang aneh.
“Ya, saya sudah bangun. Maaf sebab menganggu tidur awak.” Asma menjawab perlahan dengan rasa amat bersalah.
Lelaki itu maju dan berada di hadapan Asma.
“Asma tidak menganggu tidur saya, malahan saya bersyukur kerana saya dapat lihat Asma semakin pulih. Semangat Asma sangat kuat. Asma perlu bersungguh-sungguh untuk cepat sembuh. Asma perlu rajin buat latihan terapi.” Ujar lelaki itu kemudian.
Asma mengangguk perlahan. Asma terpandang jam di dinding yang tepat jam 6.40 pagi. Asma rasa gelisah kerana masih belum menunaikan solat subuh.
“Asma minta satu pertolongan, boleh?” ujar Asma kemudian.
Lelaki itu memandang pada Asma dengan wajah penuh persoalan. Asma rasa serba salah kerana terpacul soalan itu. Asma bimbang andai persoalannya boleh memalukan lelaki itu.
“Pertolongan? Saya pasti menolong Asma. Apakah pertolongan itu?”balas lelaki itu kemudian dengan penuh minat.
Asma semakin serba salah untuk menyatakan pertolongan itu. Asma menarik nafas dalam-dalam mencari kekuatan dari dalam dirinya. Asma benar-benar bimbang sekiranya pertolongannya menyebabkan lelaki itu segan dengan dirinya.
“Asma minta tolong awak panggilkan jururawat, boleh? Asma perlukan pertolongan sebab Asma tidak dapat bergerak untuk mengambil wuduk. Asma belum menunaikan solat subuh.” Ujar Asma kemudian
Lelaki itu mengangguk tenang.
“Oh..begitu. Saya terlupa untuk memanggil jururawat. Saya tertidur selepas solat subuh tadi. Saya keluar untuk memanggilnya sekarang.”balas lelaki itu dan berlalu keluar dari pintu.
Asma terkedu seketika. Pada sangkaannya lelaki itu belum menunaikan solat subuh dan kerana itu dia rasa segan untuk menyuarakan pertolongannya. Entah Kenapa begitu cepat dia bersalah sangka pada lelaki itu. Perkara semalam yang terjadi belum lagi dia memohon maaf. Hari ini pula sekali lagi dia melakukan kesilapan. Asma rasa kecewa dengan dirinya.
Asma tertanya dirinya kembali. Apakah kerana dugaan yang kecil ini membuatnya lupa untuk muhasabah dirinya. Asma terasa berdosa dan bersalah.
Beberapa minit kemudian seorang jururawat datang membantunya mengambil wuduk. Asma rasa tenang kembali selepas selesai menunaikan solat subuh. Lelaki tadi tidak muncul-muncul lagi sejak dia keluar memanggil jururawat untuknya. Asma berpaling lagi ke atas sebuah meja berdekatannya. Dia mendapati sebuah kotak sederhana besar. Asma mencapai kotak itu. Tertulis namanya di atas kotak itu. Asma yakin hadiah itu mungkin dari orang yang sama iaitu Nazrey.
Asma membuka pembalut hadiah itu dengan perlahan. Asma terasa sesuatu yang aneh tentang perasaannya. Asma gembira menerima hadiah itu. Bukan Asma tidak pernah menerima hadiah dari sesiapa sebelum ini Namun perasaannya kuat mengatakan hadiah itu terlalu istimewa. Asma seakan merasakan begitu lambat dia membuka kotak itu atau mungkin kerana dia terlalu banyak berfikir.
Asma melihat sesuatu seolah-olah sebuah buku yang berbalut kain biru. Asma mengeluarkan buku itu dan membuka kain itu. Asma terasa terkejut kerana apa yang dia terima merupakan sebuah tafsir al-quran. Asma teramat gembira dan bersyukur menerima hadiah itu. Asma teringat pada kata-katanya semasa dia berumur 20 tahun bahawa dia teramat ingin menemui seseorang yang menghadiahkannya sebuah tafsir al-quran. Air mata puteri turun lperlahan. Hatinya terasa sebak. Asma mula teringat dengan dirinya 5 tahun yang lalu. Asma dapat rasakan apa yang dia cari dan ingin temui kini semakin hampir dengan dirinya. Asma terasa amat bersyukur dengan kurniaan Allah SWT.
Sekeping nota terselit di dalam kitab tafsir itu. Asma menariknya perlahan. Tertulis sesuatu di atas kertas bewarna biru.
Asma,
Saya yakin saya telah temui seseorang yang saya cari dalam hidup saya. Hati saya kuat mengatakan Asma merupakan insan yang saya cari. Saya tidak tahu bagaimana harus saya katakan tapi saya yakin Asma dapat merasai jiwa saya.. Asma tidak dapat mentafsir saya, namun yakinlah bahawa Al-Quran itu penuh dengan kebenaran. Terimalah kitab tafsir Al-Quran ini sebagai hadiah pertemuan yang Allah SWT aturkan untuk kita. Saya harap Asma selalu membacanya dan mengamalkannya sekalipun menghadapi kesibukan dengan urusan dunia.. Saya harap Asma dapat memberi saya jawapan. Sesungguhnya saya bersedia mendengar jawapan daripada Asma. Saya yakin setiap pertemuan di antara dua insan adalah saling melengkapi. Saya menghormati keputusan Asma..Saya doakan Asma cepat sembuh.. Yakinlah pada ketentuan Allah SWT. Saya yakin Asma pasti dapat berfikir dan menimbangkannya. Saya redha dengan ketentuan Allah SWT. Terus terang saya katakan bahawa saya benar-benar telah menyintai Asma. Dan percayalah saya menyintai Asma kerana Allah SWT yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang….
- Nazrey -
Air mata Asma mengalir lagi. Seseorang berjalan menuju ke arahnya. Asma mendongakkan kepalanya dan melihat lelaki itu berjalan perlahan. Ada sesuatu di tangannya.
“Adakah awak ni Nazrey?”Asma bersoal kemudian.
Lelaki itu memandang wajahnya. Ada ketenangan yang lahir.
“Ya. Sayalah Nazrey. Saya berterus terang terhadap Asma. Segala-gala yang terjadi membuat saya berfikir dan menilai. Saya benar-benar menyintai Asma. Saya tidak memaksa Asma. Asma berhak memutuskan jawapan yang terbaik”balas lelaki itu dengan tenang.
Air mata Asma mengalir perlahan. Di dalam hatinya terasa satu kesyukuran yang amat kerana Allah SWT telah mempertemukannya dengan apa yang dia cari. Asma tahu, sejak 5 tahun lalu, perjalanan hidupnya semakin berubah. Asma yakin ada seseorang yang akan hadir, dan kini Asma yakin Nazreylah insan yang dia cari selama ini sebagai teman hidupnya.
Asma mengangguk perlahan. Dia melihat tepat pada wajah tenang Nazrey.
“Nazrey, Allah SWT banyak memberi jalan pada Asma. Asma banyak keliru dengan perjalanan hidup Asma. Sudikah Nazrey membimbing Asma untuk menjadi isteri yang solehah?” ujar Asma kemudian
Tergambar kegembiraan di wajah Nazrey. Air mata Nazrey turut mengalir perlahan. Tangannya menadah ke langit dengan penuh perasaan. Apa yang dirasakan dalam hatinya cuma satu, betapa indah dan agungnya cinta Allah SWT mempertemukan dua insan yang mencari sesorang dalam hidupnya sebagai teman.
Asma yakin apa yang akan dia lalui pada masa hadapan adalah sesuatu yang sukar ditafsirkan. Namun jika berpegang pada Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW, pasti setiap hamba Allah SWT berada dalam keimanan dan ketakwaan. Air matanya mengalir lagi. Terlalu bersyukur pada Allah SWT.
0 komen:
Post a Comment