
Terengganu membuktikan bahawa mereka salah satu gergasi bola sepak Malaysia setelah menumpaskan musuh seterunya yang juga dari pantai timur iaitu Kelantan. Perlawanan semalam boleh dikatakan amat sengit dan mendebarkan bagi peminat Kelantan dan Terengganu tetapi Terengganu lebih bertenaga di masa tambahan.
Kali terakhir Terengganu menjulang trofi itu ialah pada 2000 setelah menewaskan Pulau Pinang melalui sepakan penalti 5-3 apabila kedudukan terikat 1-1 setelah tamat masa tambahan.
Kelantan juga mengimpikan untuk menjulang Piala FA untuk pertama kalinya tetapi mereka tidak bernasib baik pada saat-saat akhir perlawanan setelah pemainnya Daudsu tertanduk gol ke gawang sendiri dalam usahanya untuk mengeluarkan bola dari hantaran lintang dari pemain Terengganu.
Perlawanan semalam juga tertangguh selama hampir 5minit disebabkan tindakan segelintir penyokong yang tidak bertanggungjawap membaling mercun ke kawasan permainan. Ini amat mengecewakan sebahagian besar penonton yang inginkan perlawanan akhir ini berakhir dengan baik sebagai ikatan dan jalinan mesra antara para peminat-peminat bola sepak tanahair.
Seharusnya para penyokong lebih profesional dalam mengawal emosi mereka dalam membentuk satu identiti masyarakat yang baik dan beretika. lebih dari itu, kita harus bertanggungjawap terhadap diri sendiri dan masyarakat umum untuk melihat sukan kita boleh mengorak lebih jauh ke peringkat antarabangsa.
~CitraCahaya
-----~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~--------

Beraksi di hadapan kira-kira 85,000 penyokong kedua-dua pasukan, Terengganu dan Kelantan bermula garang apabila masing-masing saling berbalas serangan bagi mencari pembuka tirai namun buntu.
Skuad anak didik Irfan Bakti Abu Salim dihidangkan peluang terbaik pada minit ke-20 menerusi penyerang sensasi Abdul Hadi Yahaya yang membuat sepakan percubaan dari dalam kotak penalti, namun ketangkasan penjaga gol Kelantan Khairul Fahmi Che Mat menyelamatkan keadaan.
Kelantan mendapat peluang terbaiknya pada minit ke-40 tetapi sepakan kencang penyerang berbisa Norshahrul Idlan Talaha berjaya ditepis keluar penjaga gawang Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli.
Lima minit babak kedua bermula, keadaan menjadi sedikit tegang dan pengadil terpaksa menghentikan perlawanan selama lima minit apabila ada penyokong membaling mercun ke arah penjaga gol Terengganu.
Pada minit ke-68, anak didik Datuk M. Karathu gagal menyudahkan peluang terbaik apabila penjaga gol skuad Penyu ‘lemas’ dan gagal menangkap kemas percubaan Mohd Ramzul.
Skuad ‘Red Warriors’ memecahkan kebuntuan gol pada minit-79 menerusi Mohd Nurul Azwan Roya.
Tertekan dengan jaringan itu, Terengganu mengatur serangan demi serangan memaksa Kelantan bertahan, dan hasilnya skuad Penyu memperolehi gol penyamaan pada masa kecederaan hasil kesilapan pemain pertahanan ‘Red Warriors’ yang tertanduk bola ke gawang sendiri.
Kedudukan itu mengheret perlawanan ke masa tambahan, sebelum Terengganu menamatkan impian Kelantan untuk bergelar juara FA buat kali pertama menerusi jaringan Ahmad Nordin.
Penyampaian trofi disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin yang berkenan berangkat ke perlawanan itu.
Ketua pasukan Terengganu Mohd Mazuki Yusof pula dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir.
Turut berangkat ke perlawanan itu ialah Sultan Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra. Hadir sama Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat.
– BERNAMA
0 komen:
Post a Comment