Friday, March 18, 2011

Cicak Pokke @ Gecko : Cicak tokek kini dilindungi



TEMERLOH – Spesies cicak tokek yang juga dikenali sebagai gecko atau tekek yang menjadi buruan ramai selepas dikatakan mampu menjadi penawar kanser dan pelbagai penyakit berbahaya lain kini menjadi hidupan liar dilindungi.

Mereka yang didapati bersalah memiliki haiwan itu tanpa kebenaran yang sah boleh didenda sehingga RM100,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Ia berikutan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menguatkuasakan akta baru iaitu Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) berkuat kuasa pada 28 Disember 2010.

Pengarah Perhilitan Pahang, Khairiah Mohd Shariff berkata, akta baru itu bertujuan menggantikan Akta Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara 1972 / Akta 76 yang dimansuhkan.

Menurutnya, antara spesies lain yang dilindungi dalam akta baru itu ialah lintah, burung murai kampung dan beberapa spesies katak.

“Turut dilindungi ialah spesies kura-kura, tuntung, labi-labi, burung tempua, serangga dan siput,” katanya pada sidang media di Temerloh, semalam.

Khairiah berkata, kepada mana-mana pihak yang menyimpan atau memiliki haiwan-haiwan tersenarai dikehendaki memohon lesen secara sah dengan Perhilitan selewat-lewatnya sebelum Jun 2011.

Menurutnya, orang ramai yang memiliki spesies haiwan dilindungi itu dinasihati memohon lesen sah untuk mengelak dikenakan penalti berat ke atas mereka.

“Perhilitan sedang dalam proses menyemak bayaran yang dikenakan untuk lesen dan ia akan diketahui dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairiah berkata, lesen memburu kijang dan rusa akan dibekukan sehingga 2015 di seluruh semenanjung Malaysia.

1 comment:

  1. we are Indonesian tokay gecko buyer. Please visit our blog at http://geckobuyer.blogspot.com for more information.

    ReplyDelete