Monday, June 07, 2010

Pilih Pemerintah : Tangan Rakyat Penentu Masa Depan (II)

Kita sekarang ini pula digembar-gemburkan bahawa negara berada pada landasan yang betul untuk membawa Negara mencapai sebuah Negara maju. Negara kita juga berada dalam kedudukan 10 negara di dunia yang berdaya saing tinggi menurut laporan daya saing dunia yang dikeluarkan baru-baru ini. Tetapi kenapa kita dikejutkan oleh PEMANDU yang kita akan menanggung hutang yang tnggi sekiranya subsidi tidak dihapuskan. Fakta yang akan membebankan rakyat yang rata-rata masih lagi terkais-kais mencari rezeki.

Sebenarnya dari kaca mata masyarakat adalah Negara akan muflis akibat kegagalan pemerintahan untuk mentadbir kekayaan Negara. Kalau sesetengah pihak yang membandingkan Malaysia dengan masalah hutang dan muflis Negara Greece maka layak juga rasanya kita membandingkan kekurangan Greece berbanding Malaysia. Apakah Greece kaya dengan hasil mashul buminya seperti Malaysia. Berapakah deficit bajet Greece berbanding Malaysia? Hujah untuk mengatakan Malaysia akan muflis adalah satu jenis ugutan untuk menafikan ketidakbolehan pemerintah untuk mentadbir Negara dan kekayaan bumi Malaysia ini juga hanya untuk mencari ihsan dari rakyat yang ‘buta’ isu semasa.

Cuba kita lihat pembaziran yang ditonjolkan atas nama pembangunan. Kemanakah hasilnya? Dulu kita dibesarkan tentang projek IRDA, ECER, NCER, SCORE, SDC dizaman bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi. Projek-projek ini menelan belanja berbilion-bilion ringgit dan hasilnya tidak juga dinikmati seluruh rakyat. Apabila Dato’ Najib mengambilalih tugas sebagai perdana menteri, rancangan koridor ini seakan-akan terbiar dan senyap ‘membisu’. Dicipta pula NKRA dan model ekonomi baru hasil idea perdana menteri baru.

Cerita ini sama anginnya seperti slogan-slogan yang dicipta untuk mencari publisiti dalam pentadbiran. Dizaman Tun Mahathir dengan Wawasan 2020,Negara Maju. Tun Abdullah dengan Islam Hadhari dan kini Dato’ Najib dengan 1Malaysia. Bukan salah slogannya tetapi pemikiran yang tidak mesra rakyat kerana idea-idea ini menghabiskan peruntukan yang banyak sekadar untuk membasuh pemikiran rakyat bagi menampakkan ketinggian pemikiran para pemimpin yang memerintah. Tanpa menyedari wang yang digunakan adalah untuk kesejahteraan rakyat bukan untuk menunjuk kehebatan diri untuk memimpin. Lihatlah pemerintah Umar Al-khattab. Bagaimana beliau menjaga rakyatnya dengan cara menjaga kebajikan seluruh rakyat tanpa ada slogan-slogan indah. Hanya yang ada kini menjadikan Umar sebagai panduan untuk memerintah .

Pemerintah perlu sedar kesilapan dalam menguruskan kekayaan Negara. Kenapa sebuah konglomerat kerajaan yang bertaraf dunia terpaksa menanggung kerugian RM1.2bilion. adakah kerajaan tidak mengetahui akan masalah yang menimpa SimeDarby ini? Mungkinkah SimeDarby ini dipaksarelakan untuk menyiapkan Empangan Bakun di Sarawak yang selama ini kita tahu tentang kerugian dalam melaksanakan projek besar ini dan menyebabkan GLC ini terpaksa menanggung kerugian besar? PosMalaysia juga menjadi adalah sebuah syarikat berkaitan kerajaan yang terpaksa menanggung kerugian dalam operasinya. Dimana urustadbir professional untuk mentadbir syarikat ini. Pemantauan tentang pelaburan tidak dijalankan dengan baik sehinggakan pelaburan yang dijalankan mendatangkan liabiliti pada Negara hingga meningkatkan beban hutangnya kepada RM227juta. Nilai ini bukannya kecil untuk digelaketawakan. Ini adalah bukti kegagalan pentadbiran dan pemantauan oleh kementerian kewangan sebagai pentadbir GLC ini. Juga dana-dana KWSP, Perkeso, Tabung Haji, dan dana-dana awam lain yang dijadikan mangsa untuk membantu pelaburan dalam syarikat-syarikat yang tidak menguntungkan.

Satu lagi kerugian terhadap Negara adalah terkorbannya dua telaga minyak Negara seperti yang dilaporkan oleh Tun Dr Mahathir. Perkara ini telah dibuat keputusan tetapi masih kabur dalam penjelasan kerajaan. Cuba kita luangkan minda kita untuk berfikir, sekiranya tanpa Tun Mahathir yang mempunyai “orang dalam” yang rapat dengan beliau dan tanpa ruang untuk bersuara, adakah kita akan mengetahui hal-hal yang amat penting ini? Akhbar-akhbar dan TV tidak langsung menyiarkan terkorbannya telaga blok L dan M ini. Setelah Tun Mahathir menyiarkan dalam Blognya, Barulah kita tahu hal besar ini sedangkan perkara ini telah ditandatangani lebih setahun yang lepas. Ini adalah penganiayaan kerajaan kepada rakyat yang memberi amanah untuk memerintah. Tetapi yang lebih penting dari itu adalah kerugian Simpanan minyak yang bernilai RM320bilion. Cuba bandingkan nilai ini dengan nilai wang yang disubsidikan kepada rakyat atas barangan keperluan harian. Adakah kerana subsidi Negara akan muflis atau pemerintah tidak tahu untuk menjaga kebajikan golongan yang diperintah?

Sekiranya ketirisan dan pembaziran terus berlaku, Negara kita tetap akan muflis walaupun subsidi dihapuskan. Ini adalah sebagai pembuka hati yang tertutup atas rasa keselesaan, pembuka mata bagi golongan buta melihat keindahan permodenan Negara untuk berfikir dan bangkit mencari sebuah kehidupan berintelektual tanpa ditipu dan dijadikan bahan sogokan kepada golongan-golongan elit yang sekadar mahu hidup atas penderitaan golongannya sendiri. Jangan biarkan diri diperbodohkan atas nama keselesaan semata-mata. Kita berhak menuntut kemakmuran atas Negara kita sendiri.

0 komen:

Post a Comment