Wednesday, February 17, 2010

Terlalu Cintakan Dunia Punca Umat Lemah

Kelemahan umat Islam kini kerana semakin jauh dengan Allah. Umat Islam yang cintakan dunia dan membesarkan kekayaan sedang menuju kepada kehancuran. Nabi Muhammad SAW memberi peringatan mengenai perkara itu dalam hadis daripada Tsauban bahawa Rasulullah bersabda bermaksud:

“Akan datang suatu masa dalam waktu dekat, bangsa- bangsa (selain umat Islam) bersatu akan mengalahkan (memperagakan) kamu seumpama sekumpulan manusia yang berkerumun berebut-rebut akan hidangan makanan di sekitar mereka. “Sahabat bertanya : “Wahai Rasulullah!Apakah kerana sedikitnya kita (umat Islam) pada waktu itu? Rasulullah menjawab: “Bukan, bahkan kamu pada waktu itu adalah golongan teramai (majoriti), tetapi kualiti kamu pada waktu itu bagaikan buih-buih lautan yang dibawa oleh arus air.

Allah mencabut daripada hati musuhmu perasaan takut kepada kamu dan mencampakkan perasaan ‘Wahn’ ke dalam hati kamu. Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Apa yang dimaksudkan ‘wahn’ itu? Rasulullah menjawab:
“Cinta dunia dan takut mati.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)


Hadis di atas menerang dan mengingatkan kekalahan dan kelemahan umat Islam iaitu cintakan dunia dan takut mati. Itulah yang dikatakan penyakit ‘wahn’ yang menyebabkan lumpuhnya umat Islam pada satu-satu zaman. Ia menyebabkan umat Islam menjadi bahan pemerasan, penindasan dan penganiayaan daripada pihak lain.Umat Islam akan dikalahkan jika mereka terlalu cintakan dunia dan dan terlampau asyik kepada kebendaan.

Maksudnya, hati umat Islam tertambat kepada kemewahan dunia, memperkayakan diri dengan mencari kedudukan dan pangkat. Dalam erti kata lain, dunia menjadi matlamat mereka. Cinta kepada dunia bukan sekadar cinta, tetapi lebih dari itu. Golongan itu rakus kepada dunia untuk kepentingan peribadinya. Dia mencari nafkah selepas mendapat makanan yang cukup, tetapi mahu lebih daripada itu.



Dipetik daripada: BERITA HARIAN -30 MAC 2005

0 komen:

Post a Comment