SUEZ - Setiap kali Hossam melihat kapal kargo yang membawa kekayaan dunia melalui Terusan Suez, hatinya dihujani perasaan kecewa.
Terusan yang menjadi antara laluan perdagangan terpenting sejak kurun ke-19 itu menyumbangkan hampir AS$5 bilion (RM15.3 bilion) kepada Mesir, tahun lalu.
Tetapi Hossam, lelaki berumur 33 tahun yang tinggal di bandar industri Suez di bahagian selatan terusan itu tidak pernah merasai sebarang kekayaan atau manfaat laluan laut tersebut.
Sejak seminggu lalu, kemarahannya dan ribuan penduduk Suez yang kebanyakannya menganggur dan miskin, sampai ke kemuncak sehingga mencetuskan protes paling ganas yang menggoyahkan asas politik Mesir dan menyebabkan Mubarak menggeletar ketakutan.
"Rakyat ditindas! Suez adalah wilayah terkaya di Mesir. Mana pergi wang yang diterima dari Suez? Mana hasil kekayaan terusan itu?," katanya dengan perasaan marah.
Semasa protes mula tercetus, 25 Januari lalu, kematian pertama dilaporkan berlaku di Suez.
Penunjuk perasaan menuntut Mubarak menamatkan cengkaman kuku besinya selama 30 tahun di mana pemimpin itu mengumpul kekayaan peribadi sambil membiarkan rakyatnya dibelenggu kemiskinan.
"Saya mendapat gaji sebanyak 400 pound Mesir (RM210) sebulan," menurut seorang mekanik di Suez.
"Sebanyak RM157 digunakan untuk membayar sewa rumah, RM10 membayar elektrik, RM8 membayar air. Bakinya memang langsung tidak cukup untuk makan dan minum, apatah lagi untuk penjagaan kesihatan," katanya.
Penduduk di Suez menjadi saksi kekayaan negara setiap kali melihat kapal besar syarikat gergasi dunia melalui terusan itu tetapi sayangnya, mereka tidak pernah menikmati hasil lumayan dari Suez.
Tidak hairanlah sejak protes bermula, Suez dibandingkan dengan Sidi Bouzid, bandar Tunisia di mana protes pertama bermula yang mencetuskan revolusi di rantau Afrika Utara dan Timur Tengah.
sumber : Sinar Harian
p/s : Umum mengetahui rantau arab sebenarnya kaya dengan hasil mahsul bumi, tetapi rakyatnya tidak dapat menikmati kekayaan itu. Ini kerana pemimpin mereka yang rakus membolot kekayaan bumi negara hanya untuk kesenangan sesetengah golongan sahaja. Mereka ini lupa bahawa kekayaan yang Allah cipta itu adalah untuk dinikmati oleh semua rakyatnya. Inilah yang terjadi di Mesir bilamana pemimpinnya membolot seluruh harta negara dengan melupakan rakyatnya yang menderita. "Kuasa di Tangan rakyat"
Sunday, February 06, 2011
Mesir dan Derita Rakyat : Wang terus mengalir di Suez
Posted by Citra Cahaya in
Kapitalis,
Krisis,
Mesir,
Miskin Penindasan
0 komen:
Post a Comment