Friday, January 28, 2011

Kaherah kembali tenang setelah demo anti Mubarak



Suasana tenang kembali ke jalan-jalan raya Kahirah pagi semalam selepas bantahan besar-besaran - yang belum pernah dilihat sebelum ini di Mesir - tercetus pada hari sebelumnya bertujuan menggesa Presiden Hosni Mubarak supaya menamatkan pemerintahannya selama 30 tahun itu.

Polis terpaksa melancarkan gas pemedih mata dan meriam air ke arah pembantah pada awal pagi semalam untuk menyuraikan mereka yang berhimpun di kawasan Dataran Tahrir di ibu kota Mesir itu sejak hari sebelumnya.

Ini kemudian diikuti pula oleh tindakan pemerintah Mesir menyekat khidmat laman pesanan dan perhubungan Internet, Twitter.

Malah, Twitter semalam mengesahkan bahawa lamannya disekat oleh Mesir dalam usaha pemerintah menghalang pembantah daripada menggunakan laman rangkaian sosial itu dalam kempen mereka untuk menggulingkan Presiden Mubarak.

Namun, menjelang subuh semalam, keadaan di jalan-jalan raya Kahirah kembali seperti biasa, dengan laluan trafik berjalan lancar.

Dua pembantah dan seorang anggota polis terbunuh dalam pergelutan dan bantahan yang tercetus kelmarin di beberapa bandar Mesir.

Para pembantah yang marah terhadap suasana hidup serba miskin dan penindasan itu semacam mendapat inspirasi daripada penggulingan pemimpin Tunisia bulan lalu.

Ada sesetengah pembantah berkata mereka akan cuba berkumpul semula pada sebelah petang semalam, tetapi pasukan keselamatan Mesir berkata pihaknya tidak akan membenarkan mereka berhimpun semula.

Dalam bantahan besar-besaran di ibu kota Mesir itu, para pembantah melaungkan slogan 'Jatuh, Jatuhlah Hosni Mubarak!' sebelum bergegas melarikan diri dari Dataran Tahrir awal pagi semalam.

Ada yang melempar batu ke arah polis, yang bertindak dengan menggunakan belantan untuk menghalang para pembantah daripada kembali berhimpun di dataran tersebut, selepas mereka disuraikan oleh polis dengan menggunakan gas pemedih mata dan meriam air.

Beberapa pergelutan masih berlaku awal pagi semalam, tetapi menjelang subuh, polis berjaya menguasai dataran itu manakala pekerja pembersihan membersihkan sampah dan batu-batu yang dibaling pembantah.

Sementara itu, Washington, sekutu rapat Mesir, menggesa agar kededua pihak berkuasa dan pembantah mengawal tindakan masingmasing.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Cik Hillary Clinton, berkata pentadbiran Encik Mubarak stabil dan sedang berusaha mencari jalan memenuhi keperluan rakyat Mesir.

'Pemerintah Mesir mempunyai peluang penting bersikap responsif terhadap aspirasi rakyat Mesir dan mengambil tindakan pembaharuan politik, ekonomi dan sosial ke arah memperbaiki kehidupan mereka dan membantu Mesir menjadi maju,' kata satu kenyataan Rumah Putih.

Perancis pula mengesali kehilangan nyawa dalam bantahan itu dan menyokong gesaan agar diwujudkan lebih banyak demokrasi 'di semua negara', kata Menteri Luarnya, Cik Michele Alliot-Marie, semalam. -- Reuters, AFP.
Sumber:BuletinOnline

p/s Pemimpin bertakhta kerana rakyat mengangkatnya bukan atas nasib semata2. Bertanggungjawaplah dan Jangan sampai pemimpin dijatuhkan oleh rakyat sendiri.

0 komen:

Post a Comment