Wednesday, January 05, 2011

Grameen Bank Lawan Bank Konvensional

29 Disember, 2010 14:25 PM

Oleh Sakina Mohamed

SISIPAN UNTUK RENCANA "BANK PALING MURAH HATI DI DUNIA"

KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) -- Mekanisme yang mendorong kejayaan Bank Grameen sebagai peminjam mikro kredit yang berjaya sering menjadi pertanyaan.

Pengasasnya Professor Dr Muhammad Yunus berkata: "Ada yang bertanya kepada saya, bagaimana anda membentuk bank ini, dengan segala butiran yang rumit, dengan peraturan serta prinsip dan sebagainya?

Muhammad berkata ia sebenarnya satu proses semulajadi, tetapi masih ramai yang tidak memahaminya.

Jadi beliau menjelaskan dalam cara yang mudah.

"Saya tidak perlu bimbang mengenai hal-hal ini, sebab apabila saya perlu mempelajari mana-mana prosedur, saya hanya perlu menoleh kepada cara kerja bank-bank konvensional.

"Dan kemudian saya berbuat di sebaliknya", beliau jelaskan. Dan ia berhasil.

Ketika bank konvensional memberi tumpuan kepada golongan berada, Grameen pula beri tumpuan kepada golongan miskin. Bank-bank konvensional menubuhkan cawangan di pusat-pusat bandar manakala Grameen pula di kampung-kampung.

"Anda tidak akan menemui bank Grameen di mana-mana bandar raya di Bangladesh", beliau tegaskan.

Bank-bank konvensional memerlukan cagaran kerana percaya ia tidak boleh beroperasi tanpanya, sebaliknya pula Grameen tidak memerlukan cagaran.

"Kami telah membelanjakan lebih AS$1 bilion, tanpa sebarang surat perjanjian atau dokumentasi. Ia merupakan perbankan berdasarkan kepada kepercayaan. Kami percaya kepada mereka dan mereka percaya kepada kami.

LAIN DARIPADA YANG LAIN

"Dalam dunia perniagaan konvensional, kepercayaan ini boleh dikatakan tidak wujud. Seluruh dunia ini wujud dalam kecurigaan".


Sementara bank-bank konvensional bergantung kepada kaum lelaki untuk berurusniaga, Grameen memilih untuk membantu wanita. Sementara bank lain berminat menyiasat latar belakang peminjam, sejarah kredit dan sebagainya, Grameen pula tidak memerlukan semua ini.

"Kami memberitahu kakitangan bahawa sejarah lampau peminjam tidak perlu. Kami hanya berminat dengan masa depan mereka. Jadi tumpukan pada masa depan kerana jika anda menyiasat latarbelakang mereka, anda sudah pasti akan mendapati banyak yang tidak betul dan itu tidak akan menolong. Tetapi jika anda memberikan mereka peluang, ia boleh membentuk masa depan baru mereka. Jika tidak, anda akan terus mencari keburukan mereka sahaja".

Grameen juga berbeza daripada bank-bank konvensional kerana ia memberi tumpuan kepada anak peminjam.

"Apabila anak mereka mahu meneruskan pengajian, ataupun menamatkan pengajian, kita perlu pertimbangkan apa yang akan berlaku? Kita cuba cari jalan penyelesaian untuk mereka demi masa depan".

Satu lagi persoalan yang sering ditimbulkan mengenai bank ini ialah dari mana datangnya sumber kewangan untuk membiayai operasinya?

SUMBER KEWANGAN

Muhammad berkata sumber kewangan bank itu datangnya dari simpanan yang dibuat oleh peminjam dan bukan peminjam. Bagaimanapun, sehingga 1995 Grameen terpaksa menerima tabungan daripada penderma walaupun ia sendiri dapat menampung keperluannya. Kerja yang dijalankan oleh bank itu telah menarik minat pihak-pihak antarabangsa hinggakan mereka ingin menghulurkan sumbangan.

Walaupun pada mulanya Grameen tidak mahu menerima sumbangan luar namun ia terpaksa akur akhirnya apabil kerajaan Bangladesh berpendapat kemasukan matawang asing baik bagi ekonomi.

Beliau berpendapat tindakan itu mencemarkan sejarah Bank Garmeen kerana memberi gambaran bahawa bank itu memerlukan derma untuk meneruskan aktivitinya.

Grameen menerima simpanan seperti mana bank lain tetapi ia hanya memberi pinjaman kepada penduduk tempatan yang miskin. Setiap cawangan menampung sendiri pembiayaan mereka. Oleh kerana bank-bank ini berada di lokasi yang strategik maka ia popular di kalangan orang ramai untuk membuat simpanan.

"Kami tidak pernah menghadapi masalah kekurangan wang. Malahan ada kalanya kami menghadapi masalah kerana terlalu banyak wang", katanya dengan diiringi ketawa kecil.

Muhammad berkata beliau suka untuk mengingatkan orang ramai - bahawa apabila mereka hidup di lautan wang sepatutnya tidak timbul kekurangan wang untuk si miskin.

"Apa yang menjadi masalah ialah kurangnya institusi untuk membolehkan golongan miskin turut berkongsi kekayaan - jadi persoalannya sekarang ialah bagaimana kita hendak menyalurkan kepada mereka wang ini?

"Nasib baik, kami menemui jalannya".

-- BERNAMA
http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsfeatures.php?id=553128

0 komen:

Post a Comment