Wednesday, November 17, 2010
Falsafah Ibadah Korban
Posted by Citra Cahaya in
Agama,
Minda
Salah satu syiar yang sentiasa dilaksanakan setiap Muslim bersempena selesainya ibadah haji dan juga berlangsungnya hari raya Aidiladha ialah ibadah korban. Sebaik sahaja selesainya solat Aidiladha, umat Islam akan bersegera melangsungkan ibadat korban dengan menyembelih binatang ternakan seperti lembu dan kambing, kemudian dagingnya akan diagih-agihkan kepada sanak saudara, jiran tetangga dan golongan fakir miskin.
Umat Islam sewajarnya bersyukur ke hadrat Allah kerana masih berupaya menghidupkan ibadat korban ini moga pengertian yang tersurat dan tersirat sebalik ibadah korban ini dapat menjadi panduan berguna untuk mereka membina kekuatan bagi menjejaki kehidupan yang sejahtera dan bahagia.
Sehubungan itu, di antara kekuatan yang perlu dijana ialah membina akhlak Islam yang unggul lagi luhur. Manusia yang lemah jiwa, lemah semangat dan bejat akhlaknya tidak mungkin merupakan seorang manusia yang sanggup berkorban apa sahaja dan juga kuat berjuang pada jalan Allah, apatah lagi untuk sama-sama menyumbang kebaikan dan kebajikan kepada orang lain.
Usaha pembinaan akhlak Islam mestilah dimulai dengan pembinaan jiwa tauhid kepada Allah yang Maha Esa. Ini kerana jiwa tauhid akan menyedarkan setiap manusia bahawa kekuatan manusia sebenarnya hanya akan tercapai apabila manusia menerima Allah sebagai Tuhan pencipta alam semesta ini, hanya Allah sahaja yang berhak dipuja dan dipuji serta dipatuhi segala titah dan perintah-Nya. Kerana Allah, barulah manusia sanggup membuat pengorbanan demi mencapai reda-Nya yang Maha Agung.
Jiwa tauhid juga bermakna menolak untuk bertuhankan kepada diri sendiri, bertuhankan kepada kuasa-kuasa lain, bertuhankan kepada darah dan keturunan, bertuhankan kepada puak dan keturunan dan sebagainya. Sejarah telah membuktikan bahawa kesilapan memilih tuhan ini merupakan punca utama berlakunya kemungkaran dan kerosakan di atas muka bumi ini. Dalam hal ini, Firaun merupakan contoh manusia yang telah mempertuhankan dirinya sendiri di samping kekuatan bala tenteranya dan kemewahan harta bendanya, tetapi Firaun lemah dan mengaku kalah apabila berdepan dengan balasan Allah. Akhirnya, beliau telah tenggelam bersama bala tenteranya di Laut Merah.
Kekuatan kedua yang menyerlah melalui simbolik ibadah korban ialah jalinan ukhuwah Islam yang padu bertunjangkan takwa kepada Allah. Dalam kehidupan yang serba mencabar ini, manusia selamanya tidak dapat hidup sendirian. Oleh itu, dalam setiap arus kehidupan dan perjuangan, perlu ada satu barisan manusia yang kukuh dan jitu. Tanpa ukhuwah yang utuh, maka akan berlakulah perpecahan dan pertelagahan antara sesama manusia, lantas menyebabkan kelemahan dan kehancuran.
Perlu dinsafi bahawa kesatuan dan kekuatan ukhuwah Islam hanya akan wujud dan terbina menerusi jalinan yang dipintal atas dasar takwa kepada Allah. Bukankah dalam ibadat haji itu sendiri, terutamanya perhimpunan di Padang ‘Arafah, di Mina dan di Tanah Suci, hak dan juga tanggungjawab manusia tetap sama belaka. Walaupun umat Islam datang dari pelbagai budaya dan adat resam, masing-masing tetap mematuhi perkara yang wajib dan rukun yang sama. Malah, tidak ada kelebihan sama sekali antara raja dengan rakyat, antara yang berkulit cerah dengan yang berkulit gelap. Maksud firman Allah berkenaan prinsip kemuliaan sebenar di sisi Allah ialah orang yang bertakwa sentiasa segar dalam ingatan mereka bagi mengukuhkan lagi jalinan ukhuwah Islam sesama mereka.
Rasulullah telah berjaya membina perpaduan generasi awal Islam sehingga terbentuk satu kekuatan unggul yang berupaya menyaingi kekuatan dua kuasa besar ketika itu. Prinsip takwa inilah yang telah mengangkat Zaid bin Thabit menjadi panglima tentera yang di dalamnya terdapat golongan bangsawan yang hanya menjadi tentera biasa. Begitu juga Bilal bin Rabah, seorang bekas hamba yang berkulit hitam telah diangkat oleh Rasulullah sebagai sahabat dan orang kepercayaan Rasulullah.
Pendek kata, kesatuan umat yang dibina atas dasar takwa dapat memantapkan hubungan antara sesama manusia. Prinsip ini sekaligus mampu mengikis rasa prasangka, cemburu dan prejudis serta bimbang akan kehilangan kuasa dan pengaruh. Ini kerana takwa menginsafkan setiap insan akan peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam meniti jambatan hidup yang penuh cabaran. Justeru, masing-masing dapat melihat perhubungan yang terjalin antara mereka sebagai rakan seperjuangan yang sama-sama berjuang dan berkorban demi keredaan Ilahi semata-mata.
Akhirnya, kekuatan ketiga yang dimaksudkan itu ialah semangat jihad dan daya juang untuk melakukan pengorbanan terhadap segala kepentingan yang bersifat sementara untuk meraih kejayaan dan kesejahteraan yang lebih abadi. Kekuatan semangat perjuangan ini mesti dibina dengan menghiaskan diri dengan sifat mahu berjihad dan berkorban. Malah untuk memperolehi kejayaan dan kebahagiaan yang sebenar, seseorang itu tidak dapat tidak mesti sanggup dan bersedia untuk mengorbankan semua kepentingan duniawi.
Pada zaman awal Islam, umat Islam di Makkah mungkin tidak mengalami kerugian yang besar jika tidak berhijrah ke Madinah. Namun, mereka pasti tidak dapat meraih makna kemenangan yang sebenar dan sempurna. Oleh yang demikian, dengan melakukan pengorbanan besar sehingga sanggup meninggalkan keselesaan hidup di Makkah, mereka berjaya menghapuskan rasa taksub kepada kaum kabilahnya, keturunan dan tanahair mereka dan membenamkan sifat tamak dan rakus kepada harta kemewahan yang dimiliki. Sebagai ganjarannya, mereka telah berjaya menghayati sebuah persaudaraan Islam yang unggul berdasarkan iman dan takwa. Natijahnya, lahirlah sebuah masyarakat madani yang kental ukhuwahnya, menegakkan keadilan Islam dan sanggup pula berkorban kerana Allah. Inilah kemenangan dan kejayaan yang sebenar di sisi Allah.
Sehubungan itu, umat Islam yang mengerjakan ibadat haji dan juga melakukan ibadah korban seolah-olah sedang menjalani suatu latihan praktikal untuk berjihad dan berkorban dengan meninggalkan segala keselesaan hidup dan kemewahan harta benda kerana ingin mendidik jiwa raga agar tunduk dan patuh kepada keagungan Allah.
Begitulah antara falsafah ibadah korban yang sewajibnya dihayati oleh setiap Muslim agar kejayaan yang sebenar dapat dicapai. Hanya iman yang bertapak kukuh dan ketahanan jiwa yang teguh berupaya melahirkan insan yang bertakwa dan sanggup berkorban demi menegakkan kalimah Allah.
Dr Engku Ahmad Zaki UDM
.
0 komen:
Post a Comment