Sunday, July 11, 2010

Menjadikan akhbar lebih fleksibel, bebas - KARIM RASLAN

Keengganan kerajaan untuk memperbaharui permit penerbitan dua surat khabar milik Pakatan Rakyat telah membangkitkan isu kebebasan media sekali lagi.

Saya sekian lama tidak bersetuju dengan rejim perlesenan semasa. Kuasa pasaran, digabungkan dengan beberapa garis panduan tertentu mengenai liputan berkenaan isu-isu keretakan (lebih penting ialah perkauman dan agama) adalah pelindung terbaik dalam menangani salah guna itu.

Rakyat Malaysia tidak sebegitu bodoh. Lebih dari itu, kita sebenarnya agak konservatif. Sementara kita mungkin suka dengan berita-berita sensasi, namun kita juga meletakkan nilai yang tinggi dalam aspek kejujuran dan kesopanan. Mana-mana penerbitan yang menyiarkan berita-berita yang merendah-rendahkan, tidak benar dan berat sebelah akan menyaksikan penurunan dalam angka edaran pada pasaran terbuka.

Daripada cuba untuk mengawal akhbar, pihak berkuasa sepatutnya membiarkan kepada rakyat mengenai apa sebenarnya yang dikisahkan – pembaca sendiri.

Dalam suasana semasa, media berteraskan online telah menjadi bertambah berkuasa. Cara terbaik untuk menangani perkembangan dan sewajarnya 'penipuan' oleh yang terdahulu ialah membenarkan surat khabar dan stesen televisyen kita menjadi lebih fleksibel dan bebas. Sehingga itu berlaku, rakyat Malaysia akan terus bergantung kepada blog-blog dan laman sesawang untuk mendapatkan berita dan analisis. Itu realitinya, sama ada suka atau sebaliknya.

Adalah sangat menyakitkan – sebagai penulis – melihat kepada tinjauan media di Malaysia. Ini terutamanya jika saya membandingkan dengan Indonesia yang lebih bebas dan pastinya babak-babak pemberitaan yang lebih hidup.

Keterbukaan lebih luas turut membantu dalam menyediakan ketelusan dan kebertanggungjawaban kerajaan yang lebih tinggi. Pendek kata, kebebasan media akan membantu ahli politik mereka menjadi jujur.

Contoh terbaik yang saya boleh berikan ialah akhbar Kompas. Dengan jumlah edaran harian melebihi 500,000, Kompas baru-baru ini meraikan ulang tahun penerbitan yang ke-45.

Saya terbaca Kompas pertama kalinya kira-kira lima belas tahun yang lalu, ketika saya mengadakan lawatan sulung ke Jakarta. Ada senaskhah di atas meja sarapan di rumah hos saya. Pada masa itu, ia agak jauh lebih nipis tetapi banyak artikel yang panjang-panjang.

Namun, saya masih tertarik. Dari sejauh pemahaman yang cetek pada masa itu, Kompas nampak sangat intelektual – membacanya kadang kala menjadikan semakin sukar untuk menyelami maksud yang cuba disampaikan.

Saya menjadi kagum, walau bagaimanapun, sehingga saya mampu membaca seluruh akhbar tersebut dalam masa sehari. Ia menjadi tatapan saya selama sedekad setengah namun saya kini boleh membaca Kompas dari depan sampai belakang.

Sebenarnya, Kompas menjadi panduan saya kepada Indonesia. Ia menyediakan saya dengan pelbagai pandangan dan perspektif. Kompas secara terang terangan majmuk dan kepelbagaian kaum: berfikiran terbuka dan jelas ketara sekular.

Kompas turut menumpukan sumber yang besar dalam membuat liputan di bahagian-bahagian yang kurang dikenali umum dalam republik berkenaan, termasuk ekspedisi di Papua dan sepanjang Solo. Musi dan Sungai Ciliwung.

Sesungguhnya, perjalanan mereka adalah hampir kepada pembinaan negara kerana Kompas menggunakan kekuatan pengarangnya untuk mengetengahkan bahagian-bahagian di Indonesia (terutama yang miskin, kurang membangun di Timur seperti Nusa Tenggara Timur) yang pada amnya dilupakan.

Pada masa sama, tumpuan akhbar berkenaan kepada pemimpin di peringkat akar umbi, aktivis, artis dan ahli akademik yang membantu saya mengukur kekayaan kehidupan kebanyakan Indonesia. Saya gemar cara pemimpin komuniti tempatan diperkenal dan didedahkan kepada masyarakat.

Lebih daripada itu, penulisannya mengenai isu-isu awam dan skandal adalah tepat dan begitu bebas. Tiada sesiapa terlepas tanpa mengira penguasaan politik atau apa jua yang mendepani.

Seperti yang Anies Baswedan, pencetus pendapat terkemuka dan ahli akademik berkata: “Apa jua yang dipaparkan oleh Kompas akan menamatkan debat dalam kalangan golongan elit dan mempengaruhi pembikinan dasar.”

Sementara akhbar itu sangat serius – menjadi bacaan wajib bagi semua penjawat awam kanan dan ahli perniagaan serta politik, terdapat juga unsur-unsur jenaka yang mengimbangi artikel yang berat.

Saya, terutamanya gemar dengan sikap tidak mengendahkan yang sihat akhbar berkenaan mengenai golongan elit politik. Ia tidak pernah menjadi hamba. Sesungguhnya, mereka kerap kali meletakkan liputan ke atas Presiden di muka surat yang terkebelakang. Ini mengangkat kredibiliti dan integriti akhbar tersebut.

Modal insan menjadi sumber terpenting kepada kejayaan Kompas. Pemegang saham utamanya Jakob Oetama, yang bertapak dengan akhbar berkenaan sejak hari pertama penerbitannya. Sesungguhnya, Pak Jakob merupakan ketua pengarang pertamanya dan bersama akhbar itu pada saat kemuncak dan kejatuhannya termasuk ketika diharamkan Suharto pada 1978.

Sesungguhnya, selama mana Kompas boleh mengekalkan pendiriannya dalam jangka masa panjang. Selepas diberi nafas baru beberapa tahun lalu, akhbar berkenaan nampaknya telah kehilangan keseriusannya walaupun menampilkan imej ceria dan lebih kontemporari. Juga, Jakob semakin dimamah usia dan tiada jaminan bahawa penggantinya nanti akan mempunyai kuasa karakter yang sama atau bebas sepertinya.

Masih, akhbar seperti Kompas memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat kebanyakan Indonesia. Berprinsip dan lantang, mereka membantu dalam menyediakan kestabilan dan pentadbiran kerajaan yang baik, daripada mencetuskan huru-hara.

Link : Sinar Harian

0 komen:

Post a Comment